KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) hari ini melancarkan Kempen Gemilang Bersama sempena meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, menerusi kempen tersebut, Astro berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus bersatu dan kekal teguh menerusi kepelbagaian kaum.

Jelas beliau lagi, Kempen Gemilang Bersama juga diharap dapat mengingatkan orang ramai mengenai makna Jalur Gemilang, dan lebih menghargai bendera negara.

"Jadi pada tahun ini, kempen kami meraikan warna-warna di sebalik Jalur Gemilang, dan kami percaya bahawa kami perlu mewujudkan kesedaran kerana berasakan ramai rakyat Malaysia yang terlupa maksud sebenar (Jalur Gemilang). Ia juga satu peringatan yang baik untuk golongan muda.

"Kami juga percaya bahawa semangat ini akan mengingatkan orang ramai tentang individu pertama yang menghasilkan Jalur Gemilang, selain Malaysia sebuah negara yang indah dan warna-warni.

"Lihat di sini, kita ada pelbagai jenis orang, berbeza warna kulit dan pelbagai jenis makanan. Saya rasa itu yang menjadi Malaysia sangat unik," katanya di sini pada Selasa.

Foto/Astro AWANi

Dalam masa yang sama, Tan berkata Astro turut melancarkan video Gemilang Bersama menampilkan atlet paralimpik, Nurin Amalin, 19, yang kehilangan penglihatan sejak berusia 10 tahun.

Menerusi penampilan Nurin, Tan berkata, ia dapat menterjemahkan warna dan nilai sebenar Malaysia.

Sebagai jenama tempatan, beliau menambah Astro berazam menjadi suara dalam membolehkan rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam membina negara menerusi kempen Gemilang Bersama.

Lebih 150 program

Dalam pada itu, Tan berkata sebagai meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Astro akan menyiarkan lebih 150 program kegemaran tempatan di Gemilang Saluran 100.

Saluran tersebut adalah percuma untuk semua pelanggan Astro bermula 21 Ogos sehingga 18 September, dan boleh ditonton menerusi televisyen, On Demand serta Astro GO.

Antara rancangan menarik yang menanti pelanggan Astro ialah All Together Now Malaysia Merdeka Special; drama komedi, Satu Tong; dokumentari 270 min Ke Piala Asia dan banyak lagi.

Selain itu, penonton juga boleh menyaksikan The Making of Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di saluran tersebut.

Sempena kempen Gemilang Bersama, Astro menguar-uarkan kempen menderma darah bersama
Pusat Darah Negara (PDN) serta melaksanakan inisiatif buku audio bersama Persatuan Bagi Orang
Buta Malaysia (MAB).

Anda boleh berbuat demikian di pusat-pusat menderma darah di Jalan Tun Razak, Putrajaya
dan Mid Valley.